Menjelang 16 September: Ahli Parlimen BN-BBC ke luar negara?
Posted by dehati on September 6, 2008
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 Sept (Hrkh) -Ketika ramai mula mempersoalkan sama ada sasaran 16 September Pakatan Rakyat akan menjadi kenyataan ataupun tinggal omong-omong kosong, perikatan pembangkang itu menegaskan, pelan mereka masih utuh dan akan menjadi kenyataan “dalam waktu ini.”
Mstar Online melaporkan, pemimpin Pakatan Rakyat yang dihubungi dengan yakin berkata, segala proses dan urusan penting yang berkaitan berjalan dengan lancar dan hampir selesai sementara beberapa aspek teknikal dan perundangan sedang diperhalusi.
Di sebalik pendirian sedemikian wujud desas-desus ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan mula ‘bercuti’ di luar negara mulai Isnin ini sehingga minggu ketiga September – tempoh yang dianggap sebagai kritikal menjelang pembentukan kerajaan baru.
Ahli-ahli Parlimen terbabit khususnya anggota Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) telah diminta menyerahkan pasport mereka untuk urusan rasmi susulan.
Bagaimanapun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN-BBC menafikan cuti itu – yang dikenali sebgaai lawatan sambil belajar ke luar negara – ada kaitan dengan sasaran Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan pada 16 September ini.
“Lawatan ini diadakan ekoran cadangan daripada beberapa anggota kami (BN-BBC). Kami mahu anggota kami diberikan pengetahuan terkini mengenai maklumat teknologi tinggi pengeluaran makanan dan pertanian… jadi kami boleh membahaskan Bajet (2009) dengan baik di Parlimen apabila bersidang kelak (selepas Aidilfitri),” kata Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Jelas beliau, tempoh dua minggu ini merupakan masa yang sesuai untuk berbuat demikian walaupun bulan Ramadan telah bermula.
“Selepas Aidilfitri, Parlimen akan mula bersidang,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu ketika dihubungi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN-BBC, Dato’ Bung Mokhtar Radin ketika dihubungi berkata, memang ada satu lawatan sambil belajar diaturkan untuk anggota kelab tersebut luar negara berkemungkinan hujung minggu ini..
“Memang ada lawatan ke luar negara bertujuan untuk meneroka teknologi pertanian dan perindustrian bagi mana-mana Ahli Parlimen dari BN-BBC yang berminat.
“Mungkin lawatan itu akan diadakan hujung minggu ini. Berapa ramai ahli Parlimen yang akan ikut belum diputuskan lagi,” kata wakil rakyat Kinabatangan itu.
Ketika ditanya ke mana destinasi dan jangka masa lawatan tersebut, Bung Mokhtar berkata, perkara tersebut juga belum diputuskan.
“Belum diputuskan tapi selalunya kalau lawatan sambil belajar mungkin lamalah sikit,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Tajuddin Abdul Rahman menafikan beliau ditawarkan untuk pergi bercuti pada 8 September ini.
“Mana ada saya tak dapat apa-apa tawaran pun untuk pergi bercuti,” katanya apabila dihubungi.
Malah, beliau juga menafikan beliau ditawarkan untuk melompat parti.
“Mana ada perkara itu tidak benar.Saya tak pernah ditawarkan untuk melompat parti,” katanya.
Ketika ditanya di mana beliau akan berada pada 8 September ini dan seterusnya, Tajuddin berkata: “Tidak ke mana-mana. Saya sibuk mesyuarat bahagian di Perak.”
Ahli Parlimen Jerlun, Dato’ Mukhriz Mahathir juga mengatakan bahawa beliau tidak mengetahui tentang lawatan tersebut.
“Saya tidak tahu, saya tidak diberitahu. Kalau ada pun saya tidak akan pergi kerana ada banyak urusan perlu diselesaikan di sini,” kata Exco Pemuda Umno itu yang akan mengumumkan pendirian rasmi merebut kerusi Ketua Pemuda Sabtu (esok).
Dalam pada itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin memberitahu, sehingga kini “semua perancangan berjalan dengan lancar.”
“Hanya tinggal beberapa aspek seperti soal teknikal dan perundangan yang perlu diselesaikan.
“Pelan sasaran 16 September kekal sebagaimana telah diumumkan (oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim). Dalam waktu terdekat, sasaran ini akan dicapai,” katanya.
Difahamkan tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) – kesemuanya dari Sabah dan Sarawak – telah menyatakan persetujuan untuk menyertai sebagai komponen Pakatan Rakyat manakala hampir 30 wakil rakyat BN pula akan menganggotai parti-parti komponen secara individu dengan sebahagian besar dalam PKR.
Ketika diminta mengulas mengenai waktu terdekat yang dimaksudkan, beliau berkata, ia akan dicapai dalam beberapa hari lagi.
Beliau tidak menolak desas-desus bahawa ada Ahli Parlimen yang ingin mengumumkan hasrat mereka sertai Pakatan Rakyat esok.
Bagaimanapun pucuk kepimpinan mahu pengumuman dibuat serentak, kemungkinan minggu depan.
Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR telah berulang kali mengatakan bahawa kerajaan persekutuan baru akan dibentuk menjelang 16 September ini.
“Banyak pertemuan telah diadakan setakat ini… pertemuan-pertemuan ini juga dikendalikan oleh komponen Pakatan Rakyat yang lain, bukan PKR sahaja,” katanya.
Difahamkan juga ahli-ahli Parlimen yang menyatakan keinginan itu termasuklah mereka yang berada dalam Kabinet.
Sebelum ini Pengerusi Perhubungan KeADILan Sarawak, Dominique Ng Kim Ho yakin peralihan kuasa kerajaan persekutuan 16 September ini akan menjadi kenyataan tetapi enggan mengulas spekulasi Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara mereka yang bakal sertai Pakatan Rakyat.
“KeADILan Sarawak sangat yakin sasaran 16 September (bentuk kerajaan) akan berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya.
Beliau menyatakan demikian sehari selepas Anwar dilaporkan menemui beberapa Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung di ibu negara.
Malah pada Khamis lalu, seramai enam wakil rakyat dari Sarawak sudah menemui Anwar iaitu pada petang selepa bekas Timbalan Perdana Menteri mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.
Menurut beliau, sehingga hari ini hampir 30 orang Ahli Parlimen BN dari Sarawak dan Sabah telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat.
“Keseluruhan dari kedua-dua negeri ialah hampir 30 orang. Dari Sarawak saja kita ada lebih 10 orang yang akan lompat menyertai kita membentuk kerajaan baru pada 16 September nanti,” kata beliau. – mks._



Sangsi said
Kenapa kita perlu kerajaan baru? Kenapa kerajaan sekarang hilang kewibawannya. Mengapa kita sanggup menerima orang yang berpaling tadah untuk membentuk kerajaan baru? Harikatnya orang yang berpaling tadah itu terbahagi kepada dua -baru sedar tentang kebenaran atau baru sedar bahawa keuntungan yang akan didapati berlipat kaliganda. Adakah kita akan percaya atau menaruh kepercayaan kepada mereka yang baru sahaja bertukar parti untuk meneraju negara. Apakah jaminannya bahawa mereka ikhlas untuk membantu kerajaan baru(jika jadi). Saya tidak arif tentang politik, tapi yang saya tahu ramai ahli politik yang berpindah-pindah parti lebih dari 2 kali. Mereka kelihatan seperti menjadikan parti itu hanya satu tempat mendapatkan pekerjaan seperti rakyat bawahan bertukar kilang tempat kerja. Sedangkan kita rakyat bawahan menaruh harapan tinggi kepada mereka dan setiap kali selepas pilihan raya kita diketepikan. Setiap ahli politik ada agendanya. Jika benar DSAI itu ikhlas dalam perjuangannya (rasanya ikhlas), tetapi bagaimana dengan rakannya dari parti lain? Ramai darinya terdiri dari mereka yang lantang bersuara untuk mengkhakis kah keistimewaan orang Melayu. Berupayakah mereka bersepakat untuk menjaga kepentingan semua kaum? Jangan nanti bila kerajaan baru ditubuhkan, DSAI sekali lagi menghadapi konspirasi menjatuhkan beliau dari dalam parti komponen BA itu sendiri. Tetapi yang pasti reputasi BN sudah punah. Rakyat mengharap perubahan. Ramai yang sudah membuat pilihan siapa pemimpin idola mereka. Tetapi yang pasti peperangan politik sekarang hanya akan melemahkan strukur perpaduan dalam kaum Melayu khasnya dan kaum yang lain ammnya. Tidak perlulah kita lihat jauh. Lihatlah sanak saudara kita sendiri atau jiran sebelah. Hanya kerana berbeda fahaman politik, hari raya pun susah hendak datang menziarah apatakah lagi bertegursapa pada hari biasa. Penyokong BN dengan fanatiknya, penyokong BA dengan perasaan kecewa pada keadaan sekarang. Bila kita hendak berkawan pun kekadang kita tanya dahulu parti mana orang itu sokong sebelum kita bertanyakan nama mereka. Walau apapun harap-harap kita sedang berada dalam laluan yang benar. Sempena bulan baik ini sama-samalah kita berdoa agar Allah menentukan yang terbaik untuk semua kaum.